Rombakan kabinet negeri tiada dalam pemikiran — Abang Johari

Abang Johari (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama kakitangan Sacofa di Bejarah Gawai Raya di BCCK, Kuching. Turut kelihatan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (duduk empat dari kanan).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 18: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan tuduhan yang beliau akan membuat pengumuman penting selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri 2019.

Pengumuman penting tersebut dikaitkan dengan rombakan kabinet negeri dan disuarakan beberapa menteri sebelum ini.

Advertisement

“Saya tidak tahu, itu orang kata saya akan membuat pengumuman penting.

“Tidak akan ada rombakan kabinet buat masa ini,” katanya ketika menjawab soalan pemberita selepas menghadiri Bejarah Gawai Raya anjuran Sacofa Sdn Bhd (Sacofa) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak(GPS) itu juga menegaskan yang tiada keperluan untuk membuat rombakan kabinet buat masa sekarang.

“Selepas ini kalau kita buat rombakan itu perkara biasa tetapi buat masa ini saya tidak berfikir untuk melakukannya,” ujar Abang Johari.

Antara yang menyuarakan Abang Johari bakal membuat pengumuman penting adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Huan.

Dr Sim yang juga Presiden SUPP mengatakan demikian kepada pemberita pada hari kedua rumah terbuka sambutan Hari Raya Ketua Menteri yang diadakan di BCCK.

Selain itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing dalam kenyataan beliau terdahulu, berharap mereka yang layak sepatutnya diserapkan dalam kabinet jika berlaku rombakan kabinet negeri nanti.

Menurut Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), GPS sekarang memiliki musuh dalam selimut dan mereka yang tidak jujur seharusnya disingkirkan dari gabungan (GPS). — DayakDaily

Advertisement