Rokok dan minuman keras bernilai RM800,000 disyaki diseludup dirampas di Kuching

Kelihatan suspek yang ditangkap untuk siasatan lanjut bersama dengan rokok dan minuman keras yang disita oleh polis.

KUCHING, 1 Okt: Seorang lelaki ditangkap bersama pelbagai jenis rokok dan minuman keras bernilai lebih RM800,000 di Pusat Komersil TT3, di sini pada 24 September lalu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 5 ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata suspek warga tempatan terbabit ditangkap selepas didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran menyimpan atau milikan rokok dan minuman keras tersebut.

Katanya, pasukan serbuan dari Unit Risik Marin kemudian bertindak merampas kesemua rokok dan minuman keras tersebut kerana disyaki diseludup dan tidak bercukai.

“Tangkapan dan rampasan pelbagai jenis rokok putih dan kretek beserta minuman keras pelbagai jenama itu kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Kastam 1967. — DayakDaily