SEBUYAU, 23 Mac: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak melupakan projek Jambatan Batang Lupar, kata MP Batang Lupar Datuk Seri Rohani Karim.
Katanya, walaupun projek tersebut telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun GPS tampil untuk membiayai keseluruhan kos projek.
“Dahulu pembinaan jambatan ini sememangnya sudah diluluskan secara perkongsian antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak.
“Namun setelah bertukar kerajaan, sayangnya projek ini dibatalkan.
“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari tahu akan pentingnya jambatan ini kepada rakyat. Beliau mengambil inisiatif untuk
meneruskan projek jambatan ini dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sarawak,” katanya.
Rohani berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Batang Lupar dengan kos RM848 juta di sini, hari ini.
Majlis telah disempurnakan Abang Johari dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan
Pelabuhan Tan Sri James Jemut Masing.
Tambah Rohani, jambatan itu bukan sahaja dinantikan oleh penduduk sekitar Parlimen Batang Lupar tetapi juga seluruh rakyat Sarawak.
Ujar beliau, banyak masa perjalanan yang dapat disingkatkan apabila jambatan tersebut siap kelak.
“Jambatan ini sangat dekat di hati saya. Sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar, ia merupakan salah satu perkara yang selalu saya perjuangkan di Parlimen.
“Bermula dengan memohon perkhidmatan feri untuk Sebuyau-Triso, ia merupakan langkah pertama yang saya ambil sebelum memohon untuk
pembinaan jambatan,” katanya.
Dengan majlis pecah tanah yang diadakan hari ini, Rohani yakin ia telah menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa ia hanyalah sekadar omong kosong.
Jelas Rohani, hari ini merupakan bukti bahawa jambatan ini bukanlah omong kosong semata-mata.
“Hari ini adalah sejarah dan permulaan untuk kita khususnya penduduk di kawasan sekitar untuk menikmati satu lagi nikmat pembangunan yang dibawa oleh kerajaan GPS.
“Ini adalah hadiah yang cukup bermakna bagi kita semua. Sesungguhnya projek Jambatan Batang Lupar ini juga merupakan satu lagi projek
ikonik yang harus menjadi kebanggaan kita orang Sarawak,” ujar Rohani. — DayakDaily