Rogol dan bunuh, pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen Sibu

Pasukan polis mengiringi tertuduh ke Mahkamah Sesyen Sibu.

SIBU, Ogos 21: Tiada pengakuan direkodkan oleh seorang pemandu lori yang didakwa merogol dan membunuh seorang wanita di sebuah bilik sewa di Jalan Tiong Hua di sini awal bulan ini.

Tertuduh, Philip Uja, 42, tidak membuat sebarang pengakuan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Caroline Bee Majanil di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Mahkamah sama kemudian menetapkan kes itu untuk disebut semula pada Oktober 2 depan.


Pendakwaan kes itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Tajul Aariffin Musa, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian mangsa, Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26.

Jika sabit kesalahan tuduhan pertama, tertuduh bakal berdepan dengan hukuman gantung sampai mati.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(4) Kanun Keseksaan kerana merogol sehingga mengakibatkan kematian mangsa yang juga merupakan seorang penjawat awam bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu.

Tuduhan kedua itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 15 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun bersama 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan jenayah tersebut di sebuah bilik sewa di Jalan Tiong Hua di sini antara pukul 8 malam pada Ogos 1 hingga 2.30 petang pada Ogos 2 lepas.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang wanita ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah bilik sewa dengan keadaan tangan dan kakinya diikat pada tepi katil di dalam bilik sewa berkenaan.

Mayat mangsa yang dijumpai oleh rakan-rakan sekerjanya yang pergi ke bilik sewa mangsa selepas mangsa gagal dihubungi dan dikesan tidak turun bekerja.

Terkejut melihat keadaan mangsa yang sudah tidak bernyawa dan dengan keadaan tangan serta kakinya diikat, rakan wanita itu kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pada Ogos 7 lepas, suspek kes bunuh itu telah diberkas polis di sebuah rumah panjang di Rumah Panjang Hong Sing Sing, Nanga Bilat, Julau dekat sini untuk siasatan lanjut. — DayakDaily