RM47 juta bagi pembangunan fasiliti sukan dalam Bajet 2023

Abang Johari berucap semasa persidangan DUN di Kuching hari ini (21 Nov 2022). Tangkap skrin dari 'live stream' Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan sebanyak RM47 juta dibawah Bajet 2023 bagi pembangunan dan penambahbaikan fasiliti sukan di seluruh negeri.

Katanya, ia melibatkan fasiliti sukan di Petra Jaya, Pusat Latihan dan Pertandingan Wushu di Petra Jaya, Kompleks Sukan Sebauh di Bintulu, Kompleks Mini Sukan Selangau dan Stadium Balingian.


Dalam pembentangan Bajet 2023 hari ini, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.1 juta kepada Perbadanan Sukan Sarawak, manakala sebanyak RM17 juta lagi diperuntukkan kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak.

“Peruntukan ini adalah untuk membiayai operasi dan pelaksanaan program pembangunan sukan di negeri ini,” katanya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Dalam ucapan yang sama, Abang Johari juga memperuntukkan RM9 juta bagi membolehkan para belia terlibat di dalam program kebudayaan dan seni termasuk program dan pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Pada tahun 2023 ini juga, kerajaan memperuntukan sejumlah RM2 juta bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti dibawah pembangunan usahawan belia,” kata Abang Johari. — DayakDaily