RM4.2 juta diperuntuk tambah baik jalan, bina lampu isyarat di Sri Aman

Harden (empat dari kanan) pada Majlis Pelancaran Projek Sri Aman Development Agency (SADA) pada Selasa (17 Okt 2023). Foto: Ukas

KUCHING, 18 Okt: Sebanyak RM4.2 juta telah diperuntukkan untuk melebar dan penambahbaikan jalan di Sri Aman, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Harden yang juga Adun Simanggang berkata, ia melibatkan pembinaan dan pentauliahan lima lampu isyarat di persimpangan Jalan Bayu, Jalan Hollis, Jalan Micheal Pilo, Jalan Muhibbah dan Lepapa Commercial Juntion di sepanjang jalan masuk ke Sri Aman.

Katanya, projek akan bermula 26 Oktober kelak dan dijangka siap pada Oktober tahun hadapan.


Justeru, beliau menasihati agar pengguna jalan raya lebih berdisiplin semasa kerja kerja pembinaan kelak.

“Ia kerana dijangka akan ada sedikit kesesakan dan diharap pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang undang terutamanya had laju 50KM/J yang ditetapkan di sepanjang jalan masuk ke Bandar Simanggang,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Sri Aman Development Agency (SADA) pada Selasa (17 Okt).

Pada majlis sama, beliau turut memaklumkan, pemotongan kayu di tepi jalan juga sedang giat dijalankan bagi projek empat lorong di kawasan Bandar Simanggang bernilai RM60 juta.

Ia menerusi peruntukan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa lawatannya ke Sri Aman. — DayakDaily