This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 7 Jun: Sebanyak RM250,000 peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) telah disalurkan kepada Kampung Sampun Gerunggang bersempena sambutan Gawai Dayak, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdul Karim berkata, ia melibatkan kerja pembesaran jalan kampung, pembinaan jambatan, naik taraf dewan dan sebagainya.
“Peruntukan RTP tersebut adalah bagi pembinaan tempat letak kereta dan kerja pembesaran dewan Kampung Sampun Gerunggang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Gawai Dayak Segulai Sejalai Daerah Asajaya 2023 di Kampung Sampun Gerunggang malam tadi.
Tambah Abdul Karim, kawasan Sebuyau, Muara Tuang, Asajaya, Stakan, Simunjan dan Gedong sedang giat melaksanakan pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) bersama agensi pelaksana lain.
Beliau yang juga Adun Asajaya berharap agar projek pembangunan yang telah diluluskan dan dirancang dapat memanfaatkan penduduk kampung serta meningkatkan pendapatan komuniti setempat.
Sementara itu, beliau berkata bahawa sambutan Gawai Dayak mampu memupuk semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum.
“Ini merupakan keindahan negeri Sarawak dari segi perpaduan kaum dan akan memudahkan pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan negeri.
“Walaupun berbilang bangsa, kita masih dapat duduk bersama untuk berbincang dalam menyelesaikan masalah kawasan dalam perundingan bersama,” jelasnya. — DayakDaily