Oleh Chris Bishop
KUCHING, 17 Nov: Gelaran Raja Sungai dengan hadiah tunai sebanyak RM25 000 bakal menjadi rebutan pada Regata Pesta Benak 2024.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), pesta itu akan berlangsung pada 29 November hingga 1 Disember nanti.
Pada Jumaat lepas, Jawatankuasa Pesta Benak Sri Aman 2024 telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Kunjungan tersebut diketuai Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Penasihat Jawatankuasa Pesta Benak Sri Aman 2024 Datuk Francis Harden Hollis.
Ia bertujuan untuk menjemput Abdul Karim menghadiri pesta.
Selain itu, perbincangan juga menjurus kepada permohonan peruntukan daripada Kementerian Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bagi menjayakan Pesta Benak Sri Aman 2024.
Untuk rekod, pada tahun ini, sebanyak 16 aktiviti telah dirancang untuk memeriahkan lagi Pesta Benak 2024 dengan Regata Benak Batang Lupar akan menjadi tumpuan. — DayakDaily