RM220,000 diluluskan bagi membangunkan kemudahan di Kg Duyoh

Dato Henry Harry Jinep

KUCHING, 24 Jan: Peruntukan sebanyak RM220,000 telah diluluskan bagi membangunkan pelbagai kemudahan untuk manfaat penduduk Kampung Duyoh di Bau.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Menteri Muda Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM150,000 diperuntukkan bagi membina baru gelanggang futsal menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2022.

Katanya yang juga ADUN Tasik Biru, peruntukan di bawah dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun sama turut melibatkan penambahbaikan rumah Gawai sebanyak RM10,000.


“Ini termasuk penambahbaikan balai raya Kampung Duyoh sebanyak RM30,000 bagi kerja-kerja memasang siling dan dinding.

“Selain itu, peruntukkan MRP berjumlah RM30,000 juga turut diluluskan untuk Jagoi Action Development Committee (JADC),” katanya semasa menghadiri program bersama komuniti Kampung Duyoh semalam.

Dalam pada itu, semasa lawatan beliau ke Kampung Barieng pada hari yang sama, Henry berkata pusat pengumpulan pisang kapok bakal diwujudkan di kampung tersebut.

Katanya, ia bagi mengumpul hasil tanaman tersebut dari seluruh kawasan Singai.

“Pusat pengumpulan itu diwujudkan disamping menaik taraf bangunan balai raya sebagai bilik gerakan bagi kegunaan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan golongan belia di situ,” ujar beliau.

Tambah beliau, dewan Kampung Barieng yang dibina baru itu akan turut dilengkapkan dengan gelanggang sepak takraw dan juga gelanggang badminton.

Henry memaklumkan bahawa ada perancangan untuk mewujudkan sebuah pusat sukan yang akan mempunyai sebuah dewan serbaguna yang luas.

“Pusat sukan ini memuatkan gelanggang badminton, gelanggang futsal untuk belia dari Kampung Segong dan Kampung Barieng selain sebuah padang bola sepak untuk penduduk dari kawasan Singai,” katanya. — DayakDaily