RM1.5 bilion peruntukan kerajaan untuk kerja menaiktaraf kemudahan jaringan Internet

Antara menara telekomunikasi baru yang dibina di Kota Samarahan.

KUCHING, Feb 5: Kerajaan negeri akan menerima peruntukan sebanyak RM500 juta dari kerajaan pusat tahun ini bagi membantu menjalankan kerja menaiktaraf kemudahan Internet di seluruh negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan terbabit adalah seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018 tahun lepas.

“Saya memberitahu Perdana Menteri yang kerajaan negeri akan memperuntukan sebanyak RM1 bilion pada tahun lepas (bagi menaiktaraf kemudahan Internet di negeri ini); beliau pula kemudian mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta dalam Bajet 2018 bagi membantu kita,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se-Malaysia (MPPKSM) Ke-83 di Grand Ballroom, di sini, hari ini.


Abang Johari berkata ini menjadikan keseluruhannya sebanyak RM1.5 bilion peruntukan kerajaan akan digunakan bagi menjalankan kerja menaiktaraf kemudahan jaringan Internet di seluruh negeri ini.

“Kita sekarang di Sarawak masih banyak kawasan titik kosong (tiada liputan Internet) dan di bandaraya Kuching apabila mengunakan komputer riba bagi melayari Internet, kita kadang-kadang hanya melihat bulatan (tanda kandungan masih dimuat turun) tetapi gambar dan maklumat tidak keluar sehingga lima minit,” katanya.

Berikutan itu, pihaknya akan mengunakan peruntukan terbabit bagi mengurangkan sebanyak mungkin titik kosong Internet di negeri ini dan juga meningkatkan kelajuan jaringan internet di kawasan bandar antara 100 hingga 150 megabit sesaat (Mbps).

Manakala bagi kawasan luar bandar kelajuan terbabit disasarkan ditingkatkan sekurangnya sehingga 50 Mbps dan kerajan negeri amat bersungguh mahu melaksanakannya walaupun sasaran terbabit adalah amat mencabar.

Sebelum ini , Abang Johari telah mengumumkan yang kerajaan negeri akan mengunakan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi membina sehingga 5,000 menara komunikasi di seluruh negeri ini bagi menambah baik dan meningkatkan kelajuan Internet daripada hanya 1,200 menara terbabit yang ada tahun lepas. — DayakDaily