RITC 2019 bakal meriahkan Panggung Udara Kuching Julai 2-11

Abdul Karim (tiga dari kanan) merasmikan pra-pelancaran RITC 2019 di Kuching. Turut kelihatan Lee (empat dari kanan).

KUCHING, Jun 17: Panggung Udara Kuching bakal dimeriahkan dengan acara ‘Rainforest in the City’ (RITC) 2019 bermula Julai 2 sehingga 11 ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata RITC adalah acara baharu untuk mempromosikan Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) 2019.

RWMF yang memasuki edisi ke-22 penganjuran pada tahun ini akan diadakan di Kampung Budaya Sarawak di Santubong dari Julai 12 sehingga 14.


“Untuk tempoh 10 hari, RITC 2019 akan membawa pengalaman acara hutan hujan kepada warga bandaraya.

“Pelbagai persembahan nyanyian, budaya, pengembaraan, alam semulajadi, makanan dan ‘festival’ Sarawak yang dimeriahkan dengan muzik, cahaya dan teknologi bakal dipertonton kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media RITC 2019 yang diadakan di Kuching hari ini.

Tambah Abdul Karim, RITC 2019 juga sebahagian daripada acara dalam kempen melawat Sarawak 2019.

Katanya, acara yang bermula dari jam 8 malam sehingga 11 malam ini dikhaskan untuk para pelancong dan pengunjung pesta serta warga bandaraya.

“Dengan adanya acara baharu ini, dan acara-acara lain yang telah dirancang kementerian, kita yakin dapat mencapai sasaran jumlah pelancong datang ke Sarawak tahun ini,” katanya.

Untuk mengelakkan kesesakan jalanraya, Abdul Karim menasihati orang ramai agar meletakan kenderan mereka di tempat letak kereta di Dewan Suarah Kuching dan Taman Budaya.

Acara pelancaran RITC 2019 akan disempurnakan Karim pada Julai 2.

RITC 2019 dianjurkan kementerian Abdul Karim dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

Turut hadir di sidang media itu Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Lee Kim Shin. — DayakDaily