KUCHING, 8 Sept: Senator Rita Sarimah Patrick Insol mencadangkan agar Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) mengawal selia Buah Tandan Sawit (BTS) khususnya dari segi harga.
Katanya, dari segi Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia, MPOB mempunyai kuasa yang luas untuk mengawal mengawal selia indutri sawit berhubung dengan penjualan, pembelian dan pengilangan buah kelapa sawit.
“Berkenaan ketelusan memberi harga Buah Tandan Sawit (BTS) ini adalah satu perkara yang amat besar bagi pekebun kecil di Sarawak.
“Pihak pengurus pusat timbang dan pengilang mengenakan harga buah tandan segar yang tidak dibuat secara telus dan tidak memberi lembaran pengiraan harga.
“Jadi ini telah menimbulkan banyak rungutan di kalangan pekebun kecil,” katanya pada perbahasan di Dewan Negara di Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Rita, cadangan beliau itu bukanlah untuk menetapkan harga minyak sawit mentah kerana ia memang mengikut harga pasaran berdasarkan permintaan dan bekalan.
Tetapi katanya, kawalan adalah ke atas pengenaan harga BTS kerana pada masa sekarang MPOB membuat panduan harga harian dan BTS, dan bagi sesetengah di Semenanjung Malaysia memang menggunakan itu sebagai panduan.
“Tetapi di Sarawak, ramai yang tidak menggunakannya dan ini menimbulkan ketidakpuasaan hati di kalangan penanam sawit.
“Kita minta MPOB mengawal selia dan mengenakan harga asas berdasarkan harga panduan harian BTS, MPOB mengikut wilayah,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Rita berkata kenaikan harga sawit pada tahun ini iaitu sekitar RM2,500 setan adalah agak kukuh.
Dengan itu tambah beliau, pendapatan negara daripada minyak sawit mentah telah meningkatkan sebanyak 1.1 peratus iaitu hampir kepada RM26 bilion berbanding pada tahun lepas.
“Dari segi keseluruhan produk minyak sawit pendapatan yang dijanakan oleh produk minyak sawit pada tahun ini adalah hampir RM39 bilion berbanding RM37 bilion pada tempoh yang sama tahun yang lepas.
“Ini merupakan satu pertumbuhan yang marginal kurang daripada satu peratus,” ujar Rita. — DayakDaily