Riot layak dilantik sebagai menteri penuh dalam kerajaan perpaduan — Pemuda SUPP Serian

Riot (tengah, baju hitam) hadir di Program Santai Belia di Leort Cottage Dibung di Kampung Pichin, Serian malam tadi (26 Nov 2022).

KUCHING, 27 Nov: Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Serian menuntut Ahli Parlimen (MP) Serian Dato Sri Richard Riot Jaem diberi jawatan menteri di dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim.

Ini adalah berdasarkan pengalaman Riot di peringkat Parlimen dan pencapaian cemerlang beliau di lapan Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Menurut Ketua Pemuda SUPP Cawangan Serian Macswyzer Richard Riot, ia juga bagi mewakili masyarakat Bidayuh yang selama ini sentiasa memberikan sokongan kuat kepada kerajaan.


“Pelantikan beliau (Riot) untuk jawatan menteri di dalam kabinet kerajaan perpaduan bakal disifatkan sebagai satu penghormatan kepada masyarakat Bidayuh.

“Riot adalah wakil rakyat paling ‘senior’ di dalam Parlimen, menang lapan kali di kerusi Parlimen Serian.

“Beliau telah menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang di kawasannya, membangunkan Serian dan penduduk,” kata Macswyzer ketika ditemui di Majlis Santai Belia di Kampung Pichin, Serian malam tadi.

Riot yang juga Timbalan Presiden SUPP pada PRU15 menang dengan majoriti 16,697 undi mengatasi tiga calon lain.

Sebelum PRU14 pada tahun 2018, Riot memegang jawatan Menteri Sumber Manusia dan pernah juga menjawat beberapa jawatan timbalan menteri.

Anwar dilantik sebagai perdana menteri Khamis lalu (24 Nov), selepas menjadi ketua gabungan politik yang memperoleh paling banyak kerusi dalam PRU15.

Beliau kemudian dititahkan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan yang memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Menerusi hantaran di laman Facebook (pada semalam), Anwar memaklumkan beliau telah menerima kunjungan Premier Sarawak yang juga pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama rombongan di rumahnya pagi tadi.

“Gabungan Parti Sarawak atau GPS menjadi antara tunggak selain Barisan Nasional, Parti Warisan dan juga GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang membentuk kerajaan perpaduan yang dikemudi saya.

“Insya-Allah, hubungan antara kerajaan persekutuan dan Sarawak pastinya lebih akrab dan diperkukuh dalam rencana melakar sebuah Malaysia yang lebih baik dan berketerampilan,” katanya yang turut berkongsi beberapa foto kunjungan itu. — DayakDaily