Riot: Hospital Serian perlu tambahan mesin dialisis dan reprocessor

Datuk Seri Richard Riot Jaem

KUCHING, 9 Dis: MP Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem memohon kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mempertimbangkan untuk membekal beberapa unit mesin dialisis dan juga mesin reprocessor di Hospital Serian.

Katanya, hanya 14 unit mesin dialisis yang berfungsi untuk kegunaan sejumlah 124 pesakit buah pinggang di bahagian tersebut.

ā€œMesin reprocessor juga amat perlu kerana ada hanya empat unit dan ia nyata tidak mencukupi,ā€ katanya pada perbahasan peringkat Jawatankuasa Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.


Beliau turut mencadangkan agar KKM membekalkan Mesin Dialisis Fresenius dan Automated Dialyser Reprocessor (ADR) yang terbukti antara yang terbaik.

Menurut Riot lagi, data ā€œNational Renal Registryā€ 2016 merekodkan terdapat 39,711 orang pesakit buah pinggang menjalani rawatan dialisis di seluruh negara.

Jelas beliau yang juga Duta Khas Malaysia ke Asia Timur, angka ini dijangka meningkat kepada 106,000 orang menjelang 2040.

Justeru beliau bertanya berhubung usaha yang telah dilaksanakan KKM untuk menyediakan lebih banyak lagi mesin dialisis di seluruh negara.

Pada perbahasan yang sama, Riot juga bertanya tentang status terkini projek Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 di Serian yang dijadualkan siap pada Jun 2022 seperti dijawab oleh menteri pada bulan Ogos lalu.

Beliau juga bertanya tentang jumlah doktor yang masih berkhidmat secara kontrak di seluruh negara dan apakah usaha kementerian untuk mengambil mereka berkhidmat ke perkhidmatan tetap. ā€” DayakDaily