Rh Luban Ili, Spaoh terima sumbangan RM99,000 dari Kerajaan Negeri

Uggah (dua dari kanan) meninjau kerja-kerja di tapak projek perparitan di Spaoh

KUCHING, 13 Jun: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengumumkan sumbangan tambahan sebanyak RM99,000 kepada Rumah Panjang Luban Ili, Spaoh.

Beliau berkata dengan sumbangan berkenaan setiap pintu rumah akan mendapat bantuan peruntukkan sebanyak RM3,000 untuk membeli bahan binaan.

“Rumah Panjang Luban Ili adalah salah satu daripada rumah panjang di DUN Bukit Saban yang menerima bantuan baikpulih rumah dibawah peruntukan MRP-PPRMS Negeri Sarawak,” katanya.


Beliau berkata demikian pada lawatan kerja ke beberapa tapak projek di Spaoh dan “walkabout” di DUN Bukit Saban hari ini.

Antara tapak-tapak projek yang dilawati di Spaoh adalah projek pembinaan sistem perparitan di Kampung Pengan, pembinaan Kompleks Sukan Spaoh, pembinaan pintu air di Kampung Hilir Spaoh dan pembinaan Spaoh Waterfront.

Uggah yang juga Adun Bukit Saban turut mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai Jabatan Parit dan Saliran (DID) mengenai projek saliran Skim Tanjung Sebekut Spaoh.

Manakala lawatan kerja di Rumah Lanjang Rapong menyaksikan Uggah melihat sendiri tapak tanah yang digunakan oleh penduduk di rumah panjang berkenaan mendirikan rumah panjang baharu.

Selain itu, beliau turut melawat kerja-kerja konkrit dan perparitan di Rumah Panjang Munggu Gemis.-DayakDaily.