KUCHING, 5 Dis: Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dikemaskini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan pergerakan rentas negeri bagi tujuan berkempen.
Namun, larangan itu dikecualikan kepada lima orang pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding.
Nama-nama pemimpin tertinggi parti hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Manakala kemasukan ke Sarawak pula adalah tertakluk kepada SOP yang sedang berkuatkuasa dan dihadkan kepada aktiviti yang diluluskan dalam permohonan enterSarawak.
SOP turut menetapkan bahawa susun atur meja di setiap premis yang digunakan bagi tujuan pelaksanaan pilihan raya perlu disusun dengan jarak antara meja adalah 2 meter dan jarak antara individu sekurang-kurangnya 1 meter.
Semua yang hadir di premis pilihan raya tidak dibenarkan bersentuhan atau bersalaman dengan mana-mana individu.
Semua yang hadir ke premis yang digunakan bagi tujuan pelaksanaan pilihan raya hendaklah menggunakan ‘hand sanitizer’ sebelum masuk ke premis dan selepas selesai urusan, iaitu sebelum keluar dari premis tersebut.
Semua individu yang hadir di premis-premis yang digunakan bagi tujuan pelaksanaan pilihan raya diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa.
SPR menerusi SOP itu turut mewajibkan setiap individu yang hadir ke premis-premis hendaklah mengimbas QR Kod MySejahtera serta mengemaskini status kesihatan dalam aplikasi MySejahtera atau mencatat kehadiran di dalam buku yang disediakan.
Semua individu yang hadir di premis-premis yang digunakan bagi tujuan pilihan raya hendaklah melalui saringan suhu badan di pintu masuk utama sebelum dibenarkan untuk masuk ke dalam premis.
Ditegaskan bahawa individu yang bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5°C, batuk, sakit tekak atau susah nafas tidak dibenarkan masuk ke premis dan hendaklah meninggalkan premis dengan segera.
Pengecualian diberikan kepada calon, pencadang dan penyokong semasa Hari Penamaan Calon, pengundi pada hari mengundi awal/hari mengundi dan Ketua Tempat Mengundi (KTM) pada hari penjumlahan rasmi undi. — DayakDaily