Remaja perempuan dilaporkan hilang di Pantai Coco Cabana, operasi SAR dilancarkan

SAR dilancar hari ini untuk mencari remaja perempuan yang dilaporkan hilang di sekitar Pantai Coco Cabana selepas beberapa barangan miliknya ditemui orang awam.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 19 Sept: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan awal pagi tadi (19 Sept) untuk menjejaki seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang di Pantai Coca Cabana.

Mangsa, Tan Mei Ling, berusia 15 tahun dilaporkan hilang oleh ayahnya selepas tidak balik ke rumah petang Ahad.


Difahamkan, kehilangan remaja itu disedari apabila ayahnya menelefon dia untuk bertanyakan keberadaannya, namun panggilan itu dijawab orang awam yang kemudian memberitahu beberapa barangan milik anaknya ditemui di kawasan Pantai Coco Cabana.

Menurut Pemangku penguasa Bomba Miri Ahmad Nizam Sapaiee, susulan menerima satu panggilan kecemasan pada jam 7.25 pagi Isnin, sepasukan anggota dari Balai Balai Bomba Miri Sentral telah dikerahkan ke lokasi untuk menjejaki mangsa.

“Setibanya pasukan Bomba di lokasi kejadian tersebut anggota terus membuat size-up, anggota Bomba membuat pencarian di kawasan pantai dan batu berhampiran,” ujarnya.

Operasi diteruskan dengan menggunakan bot penyelamat dan pencarian di tebingan dan daratan persisisran Pantai Coco Cabana.

Anggaran keluasan pencarian adalah 3km radius dari pusat kawalan bencana (PKB) yang didirikan di Pantai Coco Cabana. — DayakDaily