Remaja menyanyi meminta wang dari orang ramai

Remaja yang bermain alat muzik sambil menyanyi ketika meminta wang dari orang ramai di King Centre.

KUCHING, Nov 30: Sekumpulan remaja yang menyanyi sambil meminta wang dari orang ramai yang mengunjungi medan selera atau kedai kopi sudah mula kembali dikesan di bandaraya ini.

Tinjauan DayakDaily mendapati remaja terbabit tanpa segan silu meminta wang dari orang ramai dari meja ke meja sekitar medan selera di King Centre, Jalan Simpang Tiga, di sini, semalam.

Kumpulan remaja terbabit yang seramai dua orang berpakaian kemas serba hitam dengan seorang membawa dan memainkan gitar kecil sambil menyanyi lagu Inggeris manakala rakannya merayu orang ramai menderma wang kepada mereka.

Kebanyakkan orang ramai tidak mengendahkan kedua remaja terbabit apabila menghampiri meja mereka, namun ada segelintir yang memberikan mereka sedikit sumbangan wang, walaupun kelihatan merasa curiga.

Kedua remaja terbabit juga bergerak pantas dari meja ke meja dipercayai bagi mengelakkan mereka disoal orang ramai dan supaya dapat mengutip sebanyak mungkin wang dari orang ramai sebelum berpindah ke medan selera lain di bandaraya ini. — DayakDaily