Remaja maut dalam kemalangan Lundu

Siasatan dijalankan di lokasi kemalangan.

LUNDU,31 Jan: Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan di kilometer 22 Jalan Lundu-Sematan iaitu berdekatan Kampung Temaga Melayu semalam.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata mangsa, 13 dari Kampung Stunggang Melayu, Lundu semasa kejadian menunggang motosikal.

Katanya, mangsa telah dilanggar sebuah kenderaan jenis pikap ketika keluar dari simpang ‘P-turn’ iaitu sekitar jam 6 petang.


“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang bergerak dari arah Sematan menuju ke Lundu telah keluar dari simpang ‘P-Turn’ tanpa berhenti terlebih dahulu di simpang.

“Pada masa sama, sebuah pikap dari arah Lundu ke Sematan yang bergerak di jalan lurus telah melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Lundu.

Sementara pemandu pikap dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan lanjut kes masih dijalanakan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Keadaan jalan raya pada masa kejadian adalah basah dan cuaca hujan,” katanya. — DayakDaily