Remaja lelaki maut dalam kemalangan jalan raya

Keadaan motosikal yang dinaiki mangsa selepas kemalangan di Jalan Miri Airport.
Advertisement

MIRI, Jun 13: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang dibonceng bersama rakannya dilanggar oleh sebuah kenderaan di Jalan Miri Airport di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu mengakibatkan mangsa, Zulkifli Zakaria Semana, 17, dari Long Loyang, Tinjar disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, rakan mangsa yang menunggang motosikal itu pula mengalami kecederaan ringan.

Advertisement

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan yang belum dipasti telah melanggar motosikal yang dinaiki oleh kedua-dua mangsa sebelum berlakunya pergeseran pada pembahagi jalan raya di situ.

“Zulkifli yang tercampak jatuh dari motosikal kemudian mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu kenderaan yang menghimpit dan merempuh motosikal mangsa itu [pula dikatakan memecut lari dari lokasi berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, buat masa ini polis masih mengesan kenderaan yang melanggar motosikal yang dinaiki oleh mangsa.

Ujarnya, pihak polis juga memohon saksi kejadian agar tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan kes itu.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement