Remaja lelaki maut dalam kemalangan di FAC Matang

Motosikal mangsa rosak teruk dalam kemalangan tersebut.

KUCHING, 5 April: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan FAC Matang semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt. Abang Zainal Abidin Abang Ahamad berkata mangsa merupakan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun berasal dari Batu 10 Jalan Matang.

Katanya, mangsa dikatakan telah melanggar belakang sebuah kereta yang bergerak lurus menghala ke Kampung Selang Ulu sekitar jam 10.30 malam.


“Akibat dari pelanggaran, mangsa mengalami kecederaan parah terutama di kepala dan telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily