PADAWAN, Ogos 12: Seorang remaja lelaki ditemui mati lemas selepas dilaporkan hilang semasa mandi di Sungai Kampung Landeh di sini hari ini.
Mangsa, John Allfeus Kassim, 13, ditemui oleh anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada pukul 6.55 petang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat remaja malang itu ditemui di dalam sebuah lubuk yang kedalamannya dianggarkan 4 meter.
Katanya, sebelum itu pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 4.36 petang.
“Sejurus menerima laporan tersebut, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa.
“Anggota PPDA dari BBP Batu Lintang turut ke lokasi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tiong menambah, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.40 petang,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya lagi. — DayakDaily