Remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas jatuh ke sungai semasa memancing ikan

Pasukan SAR sedang berusaha mencari mangsa.
Advertisement

Oleh Dean Adam

MARUDI, Mei 28: Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika sedang memancing ikan berhampiran Pengkalan Jeti Bot, SK Dato Sharif Hamid di Kampung Narum di sini hari ini.

Kejadian kira-kira 3.55 petang itu mengakibatkan mangsa, Mohd Adenan yang berusia 16 tahun dilaporkan hilang dan masih belum ditemui setakat pukul 5.45 petang.

Advertisement

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4 petang.

Jelasnya, sepasukan enam anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Mohd Adenan

“Apabila tiba, anggota bomba seterusnya melakukan operasi pencarian di atas permukaan sungai di sekitar mangsa dilaporkan terjatuh.

“Bagaimanapun, setakat pukul 5.45 petang, remaja malang itu masih gagal ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Law menambah, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang berasal dari Kampung Baru itu akan disambung esok.

“Maklumat tambahan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. — DayakDaily

Advertisement