Remaja dijumpai tercedera, dipercayai terjatuh dari bangunan membeli-belah

Anggota APM Miri melakukan rawatan awal ke atas magsa sebaik tiba di lokasi.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 3 Nov: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dipercayai terjatuh daripada sebuah bangunan membeli-belah di Jalan Bintang pagi ini.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah (APM) Miri Kapten (PA) Usman Harto, remaja itu ditemui dalam keadaan separuh sedar terbaring di tengah-tengah laluan menuju parkir tingkat atas bangunan tersebut dalam jam 10 pagi oleh orang awam yang kemudiannya bertindak memaklumkan kejadian kepada pihaknya dan polis.

Usman berkata, pihaknya telah menerima panggilan sekitar jam 10.10 pagi.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tumit kaki (luka terkoyak teruk di bahagian kedua tumit kaki). Skuad Delta melakukan rawatan awal, memasang ‘cervical collar’ dan membalut luka mangsa,” jelas Usman.


Pihak APM telah membawa mangsa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari bangunan tersebut pada angaran ketinggian kira-kira lebih 10 meter dari aras tanah.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika di hubungi berkata ringkas, mangsa merupakan seorang pelajar sekolah menengah di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Mengikut Akta Kanun Keseksaan, individu disabit kesalahan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. — DayakDaily