Redah 6 jam perjalanan lalui jalan balak agih bantuan makanan ke komuniti Penan

Pasukan petugas agih bekalan makanan ke Long Seridan.

KUCHING, 15 JUN: Redah perjalanan selama 6 jam melalui jalan balak dan berbatu tidak menghalang petugas pengagihan bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang sampai ke Long Seridan.

Menurut laporan UKAS, petugas yang diketuai Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cabang Long Napir Helen Sabin telah bergerak ke Long Seridan pada tengahari Isnin.

Empat buah kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk membawa bersama bantuan bekalan makanan.

“Kejayaan untuk sampai ke Long Seridan juga bergantung dengan faktor cuaca.

“Ini ditambah lagi dengan kondisi jalan yang terputus akibat jambatan runtuh di Sungai Setuan yang ketika ini sedang dibaik pulih,” kata Helen semasa ditemui sebelum memulakan perjalanan ke Long Seridan pada Isnin.

Tambah beliau, Sungai Setuan tidak dapat dilalui jika hujan dan mereka terpaksa bermalam.

Sejumlah 243 bantuan bekalan makanan akan diagihkan kepada penerima yang terdiri kalangan komuniti Penan.

Kampung yang terlibat ialah Long Seridan Asal, Long Seridan Buyo, Long Balau, Ba Magoh, Ba Tepan, Long Ludin, Ba Tarum, Long Menging, Long Lesuan, Ba Ubong dan Long Meraan. — DayakDaily