Rancangan pembangunan dengan peruntukan besar bagi kawasan Batang Sadong-Batang Lupar bermula

Abang Johari berucap di Majlis Apresiasi N.26 Gedong malam tadi (25 Jan 2022).

KUCHING, 26 Jan: Program pembangunan dengan peruntukan besar di kawasan Batang Sadong-Batang Lupar bagi tempoh lima tahun akan bermula dalam tempoh terdekat.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ia akan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk di sekitar Gedong, Simunjan, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau hingga ke Lingga.

“Saya yakin perancangan pembangunan bagi tempoh lima tahun ini akan mengubah (taraf) ekonomi penduduk di kawasan sekitarnya,” katanya.

Abang Johari berkata demikian di Majlis Apresiasi N.26 Gedong yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Tambah Abang Johari yang juga ADUN Gedong, satu makmal melibatkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan bersama pemimpin masyarakat telah diadakan bagi melihat hala tuju pembangunan di kawasan Batang Sadong-Batang Lupar.

Bagi Gedong, katanya, perancangan pembangunan terdahulu yang dibawa mantan ADUN Datuk Mohamad Naroden Majais akan diteruskan selain diberi penambahbaikan.

“Saya beri bayangan bahawa Gedong dan Simunjan akan menjadi satu kawasan strategik yang berada di laluan yang kita bina hingga ke Sebuyau.

“Sebenarnya ia bermula dari Serian yang seterusnya ke Gedong-Simunjan-Asajaya-Sadong Jaya-Sebuyau dan terus ke Lingga,” katanya.

Katanya, sistem jalanraya penghubung ini diteruskan ke Lingga iaitu ke kawasan pengeluaran padi di mana kerajaan telah meluluskan peruntukan RM30 juta untuk membina tali air di Lubok Punggor.

“Di samping itu, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM76 juta untuk membina jalan raya menghubung Simalatong ke Gedong,” ujar beliau lagi. — DayakDaily