Rampas tanah NCR guna Seksyen 6 tuduhan tidak berasas, kata Awang Tengah

Awang Tengah (duduk tengah) pada sidang media di DUN.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Nov: Tuduhan menyatakan bahawa kerajaan menggunakan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri untuk merampas tanah NCR adalah dakwaan tidak berasas.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, kaedah pengukuran menggunakan seksyen tersebut sebenarnya adalah untuk membantu rakyat.

Advertisement

“Sejak kita memperkenalkan pengukuran melalui inisiatif baharu iaitu dengan menggunakan Seksyen 6, kita menjalankan kerja-kerja pengukuran perimeter tanah. Ini penting sebab ia menentukan sempadan tanah NCR,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, kata sejak inisiatif baharu dilaksanakan pada Oktober 2010, sejumlah 910,000 hektar atau 2.248 juta ekar tanah telah disukat.

Dari segi purata katanya, keluasan tersebut meningkat 20 kali ganda jika dibandingkan denga kaedah pengukuran yang lama.

“Kita telah mewartakan banyak tanah NCR dan itu adalah hak rakyat. Kalau ada permohonan untuk tanah-tanah mereka disukat secara individu, kita akan sukat secara individu.

“Permohonan untuk kerja-kerja pengukuran lot individu setelah mereka menerima warta dibawah Seksyen 6 semakin bertambah,” tegas beliau.

Pada ucapan penggulungan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli terdahulu, Awang Tengah berkata kerajaan Sarawak telah meluluskan pengambilan seramai 467 pegawai pelbagai kategori bagi menambah kapasiti sedia ada di Jabatan Tanah dan Survei.

Ia melibatakan tambahan perbelanjaan sebanyak RM30 juta setahun, katanya.

Tambah beliau, fokus pengukuran pada tahun ini juga pada pengukuran lot-lot individu bagi kawasan-kawasan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 6 berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut-penuntut tanah.

Setakat ini, sebanyak 29,558 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 36,533 hektar, dan akan dikeluarkan surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18. — DayakDaily

Advertisement