KUCHING, Dis 23: Penduduk negeri ini dijangka akan menyambut perayaan Krismas dengan selesa berikutan keadaan cuaca negeri ini diramalkan tiada hujan sebelah pagi, petang dan malam pada Disember 25 ini.
Laman sesawang Jabatan Meterologi Malaysia (JMM) di www.met.gov.my meramalkan keadaan cuaca yang baik di negeri ini sepanjang hari perayaan terbabit dengan suhu minima 24 darjah Celsius dan maksima 33 darjah Celsius.
Bagaimanapun penganut Kristian terutama di kawasan pedalaman negeri ini yang menyertai acara sembahyang Krismas sebelah petang dan malam esok (Disember 24) perlu bersedia membawa payung.
Ini berikutan cuaca diramalkan hanya tiada hujan seluruh negeri sebelah pagi manakala ribut petir akan melanda di satu dua tempat di kawasan pedalaman sebelah petang dan selepas itu hujan di satu dua tempat di kawasan pedalaman sebelah malam.
Cuaca negeri ini juga diramalkan akan hujan dan adakalanya ribut petir di satu dua tempat di kawasan pedalaman sebelah pagi, petang dan malam bermula dari sebelah petang Disember 26 sehingga malam Disember 29 depan. — DayakDaily