‘Rakyat perlu fahami program yang dibawa kerajaan negeri’

Penguang (kanan) disambut penduduk rumah panjang Dagulass Bungan, Sungai Temat di Tinjar.
Advertisement

MARUDI, Ogos 12: Rakyat di kawasan luar bandar perlu memahami program yang dibawa oleh kerajaan negeri dalam membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Penguang Manggil berkata, rakyat luar bandar juga harus tidak mudah dipengaruhi oleh dakyah pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri dan cubaan untuk meracuni pemikiran masyarakat .

Menurutnya, pelbagai program yang dilakukan kerajaan diyakini membuka lebih ruang kepada masyarakat untuk memahami kaedah dan strategi kerajaan dalam membangunkan negeri ini.

Advertisement

“Ini dilakukan agar rakyat tidak membantah atau menghalang pelaksanaan program pembangunan yang sebenarnya memberi faedah bukan sahaja kepada rakyat sendiri, tetapi secara keseluruhan.

“Sehubungan itu, rakyat di negeri ini tidak harus tertipu dengan helah golongan pihak tertentu yang kononnya hendak membantu rakyat,” katanya di Majlis “Berjadi Tiang Bumbung” Rumah Panjang Dagulass Bungan, Sungai Temat di Tinjar.

Penguang menambah, pelbagai program dan dasar yang diperkenalkan juga membuktikan kerajaan membuat perancangan terhadap kebajikan rakyat walaupun berdepan pelbagai tuduhan pihak tertentu.

Katanya, dengan mandat rakyat, kerajaan negeri akan meneruskan pelbagai usaha untuk membawa pembangunan kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Kalau rakyat percaya pada politik kebencian, berita palsu, saya bimbang apa yang dirancang oleh kerajaan negeri tidak akan kesampaian.

“Ini bermakna dalam keadaan pihak tertentu yang hanya fikir mereka dapat memecahbelahkan kita, walaupun kita jawab tuduhan itu, tetapi pada masa sama kita buat kerja dan perancangan untuk rakyat,” katanya.

Dalam majlis sama, Penguang juga mengumumkan peruntukan RM15,000 kepada JKKK Rh Dagulass Bungan dan RM5,000 kepada Biro Wanitanya. — DayakDaily

Advertisement