Rakyat masih ingat apa PH buat sepanjang tempoh 22 bulan, kata Fadillah

Fadillah (kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Taman Dusun Indah, Chin Soi Jam.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Nov: Rakyat Sarawak masih ingat apa kerajaan Pakatan Harapan (PH) buat di sepanjang tempoh 22 bulan memerintah, kata Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) Dato Sri Fadillah Yusof.

Ditemui ketika penyerahan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung No. 6 di sini, Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya menyifatkan kehadiran PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti bukanlah satu ancaman besar.


“Bagi kita, PH nak masuk atau tidak, saya yakin rakyat Sarawak dapat menilai tempoh 22 bulan PH memerintah di Malaysia dahulu.

“Apakah mereka dapat menunaikan janji-janji manifesto mereka?

“Jadi saya yakin rakyat Sarawak ingat apa yang telah mereka laksanakan dan berapa banyak projek yang telah mereka batalkan,” kata Fadillah yang juga MP Petra Jaya.

Berhubung Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang akan bertanding di semua 82 kerusi DUN, beliau berkata ia adalah hak parti tersebut.

Ujar beliau, beberapa pemimpin di dalam PSB sekarang pernah bersama PH satu ketika dahulu.

“Itu hak mereka (PSB) untuk bertanding. Yang pasti Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga akan bertanding di semua 82 kerusi.

“GPS membuktikan bahawa kita adalah sebuah parti yang telah memberi khidmat kepada rakyat Sarawak melalui pelbagai strategi yang telah disusun dan dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Fadillah menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Taman Dusun Indah di Sejijak. — DayakDaily