KUCHING, 1 Dis: Kecurigaan seorang sahabat apabila rakannya tidak menjawab panggilan telefonnya terjawab apabila dia menemui rakannya itu tidak lagi bernyawa di rumahnya di Jalan Stampin semalam.
Difahamkan, mangsa iaitu seorang wanita berusia 38 tahun telah dihubungi sejak malam Ahad, namun tidak dijawab menyebabkan rakannya itu bersama dua lagi rakan mereka pergi ke rumah mangsa iaitu sekitar jam 1 petang.
Bagaimanapun setiba di rumah mangsa, mereka dapati mangsa tidak lagi bernyawa di ruang tamu rumahnya dan terus menghubungi polis untuk bantuan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Maong dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa selepas diperiksa anggota paramedik telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tujuan bedah siasat.
“Siasatan awal di lokasi kejadian juga tidak menjumpai unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, sementara menunggu keputusan bedah siasat,” kata Merbin.
Beliau turut memberitahu mangsa tinggal bersendirian di rumah tersebut selepas berpisah dengan suaminya.
“Difahamkan mangsa juga mempunyai dua orang anak tetapi tinggal bersama keluarga bekas suaminya kerana cuti sekolah,” katanya. — DayakDaily