RADDA digesa sediakan bekalan air ke 8 rumah panjang di Ulu Sungai Rusa

Penduduk di salah sebuah rumah panjang bergantung kepada sungai untuk mandi dan sumber air kegunaan harian.
Advertisement

KUCHING, 7 Sept: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sarikei menggesa kerajaan Negeri menggunakan peruntukan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bagi menyediakan bekalan air ke lapan buah rumah panjang di Ulu Sungai Rusa di Jalan Kesa, Sarikei.

Ketua cabangnya Yee Chin Kui dalam satu kenyataan hari ini berkata, lebih 500 penduduk di kawasan tersebut telah menghadapi masalah tersebut sejak 30 tahun yang lalu.

Ia melibatkan penduduk dari Rh Admano, Rh Jengayang, Rh Thomas, Rh Luing, Rh Munan, Rh Ayu, Rh Gani dan Rh Papit.

Advertisement

“Sepanjang tempoh 30 tahun ini, penduduk di lapan rumah panjang ini perlu berulang-alik ke sungai yang berdekatan untuk mandi dan mencuci pakaian selain mengharapkan air hujan yang dikumpul dalam tangki besar untuk masakan dan minum.

“Sewaktu musim kemarau, air sungai akan semakin cetek serta agak keruh dan mereka menghadapi masalah bekalan air bersih untuk memasak dan minum.

“Mereka perlu mengangkut air dari sungai untuk kegunaan di rumah panjang,” katanya.

Tambah Yee, keadaan akan menjadi lebih teruk dan membimbangkan apabila bekalan air dari sungai dicemari oleh bahan-bahan kimia seperti baja dan racun dari kebun-kebun berhampiran.

Katanya, masalah turut dihadapi oleh tiga buah rumah panjang lain di KM 4, Jalan Kim Sam iaitu Rh Empenie, Rh Chuat dan Rh Patrick. — DayakDaily

Advertisement