Racun berjadual dikesan dalam produk tradisional Nan Bao Capsule

Pendaftaran Nan Bao Capsule (MAL19971474T) telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) berikutan pengesanan racun berjadual sildenafil dan tadalafil di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

KUALA LUMPUR, Mac 18: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional Nan Bao Capsule (MAL19971474T) yang dikilang oleh Huangshi Pharm Fty, China berikut produk itu telah dikesan mengandungi racun berjadual sildenafil dan tadalafil.

Menurut satu kenyataan media dari Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pendaftaran produk ini telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-332 berikutan pengesanan racun berjadual sildenafil dan tadalafil di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

“Sildenafil dan tadalafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk. Ubat-ubat yang mengandungi sildenafil dan tadalafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor.


“Penggunaan sildenafil dan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

“Sildenafil, tadalafil dan analognya adalah tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional. Penggunaan ubat ini adalah sangat berbahaya bagi orang awam yang berisiko tinggi terhadap kesan advers tersebut terutamanya pesakit bermasalah jantung seperti angina yang mengambil ubat nitrate,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau mengingatkan penjual dan pengedar produk ini untuk menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana penjualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahankesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” tambah Dr Noor Hisham.

Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi ‘NPRA Product Status’ daripada Google Play Store. — DayakDaily