Pustaka Negeri Sarawak sumbang pelindung muka kepada Mahkamah Kuching

Wakil Pustaka Negeri Sarawak menyampaikan sumbangan pelindung muka kepada wakil Mahkamah Kuching.

KUCHING, April 28: Pustaka Negeri Sarawak dan MiLUS Miniatures menyumbang 50 unit pelindung muka kepada Mahkamah Kuching.

Sumbangan itu telah diterima oleh penolong pendaftar Mahkamah Kuching Mosidi Husseini.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk membekalkan kelengkapan pelindung kepada petugas barisan hadapan termasuk Mahkamah Kuching bagi mencegah penularan wabak Covid-19 selain menggunakan penutup hidung dan mulut semasa mereka menjalankan tugas.

Pustaka Negeri Sarawak menerusi satu kenyataan hari ini menyatakan pelindung muka tersebut telah dihasilkan sepenuhnya oleh pihak mereka dengan menggunakan tiga unit pencetak 3D sumbangan Kedutaan Amerika Syarikat di bawah program American Corner Sarawak dan pencetak buatan tempatan dari Proteus.

Setakat ini bekalan pelindung muka tersebut juga telah diagihkan kepada anggota polis di Balai Polis Bintawa, pengusaha tempatan untuk sektor penanaman dan pembekalan sayur-sayuran segar, petugas kesihatan di Normah Medical Specialist Centre, anggota polis di Ibu Pejabat Daerah Kuching dan anggota polis di Balai Polis Central,Kuching. — DayakDaily