Pusat Service Sarawak di Sri Aman beri manfaat kepada penduduk

Datuk Amar Jaul Samion

KUCHING, 21 Dis: Pusat Service Sarawak di Sri Aman menyediakan perkhidmatan ‘one-stop’, bersepadu dan mesra pelanggan yang berkonsepkan “One Government at Your Service”.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, pusat itu menyampaikan pelbagai perkhidmatan melalui pelbagai saluran perkhidmatan seperti kaunter perkhidmatan, kiosk, portal dan ‘mobile app’.

“Service Sarawak merupakan salah satu inisiatif transformasi perkhidmatan awam Negeri Sarawak untuk menambah baik dan memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan barisan hadapan agensi-agensi Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya.


Jaul berkata demikian semasa merasmikan Pusat Service Sarawak Sri Aman dan melancarkan Saluran Digital Service Sarawak di Sri Aman baru-baru ini.

Tambah beliau, Pusat Service Sarawak Sri Aman juga turut menyediakan perkhidmatan yang sama seperti di empat pusat Service Sarawak sedia ada.

Katanya, waktu operasi adalah setiap Isnin hingga Sabtu daripada pukul 8 pagi sehingga 5 petang dan ditutup pada hari Ahad dan cuti umum.

Jaul yakin pusat ini pasti akan memberikan pelbagai manfaat kepada penduduk di Bahagian Sri Aman.

“Pertama, semakan dan bayaran pelbagai bil seperti air, elektrik, cukai pintu, cukai tanah dan lain-lain di satu kaunter yang sama, menggunakan MyKad sahaja tanpa mengemukakan bil asal.

“Kedua ialah perkhidmatan adalah tidak terhad kepada semakan dan bayaran bil sahaja. Pada masa ini terdapat 49 jenis perkhidmatan daripada 38 agensi kerajaan Sarawak dapat dibuat di pusat ini.

“Ketiga, selain daripada kaunter, pusat ini turut menyediakan kiosk pembayaran yang boleh digunakan pada bila-bila masa selepas pusat ditutup,” kata Jaul.

Berhubung Pelancaran Saluran Digital Service Sarawak, Jaul berkata, ia menyediakan 59 perkhidmatan atas talian yang disediakan oleh agensi kerajaan Sarawak.

Ujar beliau, usaha ini adalah bertepatan dengan situasi Pandemik Covid-19 yang menghadkan pergerakan orang ramai untuk membuat urusan di agensi kerajaan.

“Oleh yang demikian, saya ingin menyeru semua rakyat Sarawak khususnya yang mempunyai akses Internet untuk menggunakan saluran digital Service Sarawak ini.

“Sila layari portal service.sarawak.gov.my atau muat-turun mobile app Service Sarawak dari Apple Store, Google Play dan Huawei AppGallery,” katanya. — DayakDaily