Pusat Seni Persembahan lonjakan nama Sarawak sebagai pentas seni antarabangsa — Abang Johari

Abdul Karim mengimbas tapak tangan pada iPad sebagai simbolik Perasmian Majlis Anugerah Seni Budaya Sarawak 2023.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Okt: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan lebih daripada RM300 juta untuk menaik taraf bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama menjadi Pusat Seni Persembahan Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, siapnya nanti, Sarawak bakal dikenali sebagai pentas seni persembahan bertaraf antarabangsa bagi pelbagai pementasan aktiviti kesenian dan Kebudayaan.


“Ini sekaligus bakal melonjakkan nama Sarawak sebagai pusat tumpuan untuk penggiat-penggiat seni dan budaya sama ada dalam dan luar negara untuk mengadakan persembahan di sini,” katanya dalam ucapan di Majlis Anugerah Seni Budaya Sarawak 2023 malam ini.

Teks ucapan Abang Johari dibaca Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Tambah Abang Johari, segala inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini adalah bertujuan bagi memulihara seni warisan tempatan agar terus kekal relevan dan dikenali oleh anak bangsa Sarawak.

“Perlu diingatkan, bangga dan ‘hidupnya’ sesuatu bangsa itu adalah disebabkan kekayaan warisan kesenian dan kebudayaan yang terdapat di dalam nya,” katanya.

Pada majlis tersebut, penyanyi popular Penghulu Andrewson Ngalai menerima Anugerah Khas Sri Apresiasi Seni Sarawak 2023.

Anugerah khas ini diberikan kepada beliau atas pencapaian menaikkan nama Sarawak menerusi lagu ‘Biar Bekikis Bulu Betis’.

Manakala penyanyi veteran Richmond Allan pula dipilih menerima Anugerah Khas Juri.

Dalam pada itu Dato Sarbanun Merican Dopili menerima Anugerah Tokoh Seni Budaya Sarawak 2023.

Penyanyi yang juga pemain sape terkenal Jerry Kamit pula dipilih menerima Anugerah Seni Muzik Sarawak 2023. — DayakDaily