Pusat Persembahan Seni di bangunan DUN lama dijangka beroperasi sekitar 2025–2026

Snowdan ketika berucap di sidang media Konsert Resolusi Exist.

KUCHING, 31 Jan: Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama yang dijadikan sebagai sebuah pusat persembahan seni dijangka beroperasi sekitar tahun 2025–2026.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, kerja-kerja ubah sesuai bangunan DUN lama kini sedang giat dilaksanakan.

“Kerja-kerja sedang dilaksanakan setelah tertangguh disebabkan pandemik Covid-19.


“Kerajaan juga telah menyediakan peruntukan tambahan setelah harga bahan binaan naik. Mulanya kos bagi pusat persembahan seni ini ialah RM200 juta,” katanya.

Snowdan berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Resolusi Exist di sini hari ini.

Tambah beliau, kerja-kerja ubah suai melibatkan pihak kontraktor yang memiliki kepakaran.

Katanya, ini adalah kerana kerajaan ingin membangunkan sebuah pusat persembahan seni bertaraf dunia.

“Apabila siap nanti, kita boleh menganjurkan persembahan seni bertaraf antarabangsa,” ujar Snowdan. — DayakDaily