KUCHING, 11 Ogos: Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di kawasan zon hijau Covid-19 di Sarawak akan dibuka semula pada 25 Ogos depan setelah ditutup lebih empat bulan akibat Covid-19.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata ini selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pada mesyuaratnya hari ini membenarkan pembukaan semula pusat itu.
“Sudah dibenarkan (JPBN) untuk dibuka, tetapi kita memilih untuk memberi ruang kepada PDK terbabit untuk membuat persiapan dalam masa dua minggu ini,” katanya pada sidang media Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Jangkitan Covid-19 Di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti di Wisma Kebajikan, Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, hari ini.
Fatimah berkata ini kerana hanya PDK di zon hijau terbabit yang bersedia dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dibenarkan untuk beroperasi semula pada 25 Ogos depan dan tempoh dua minggu itu bagi membolehkan PDK terbabit membuat persediaannya termasuk memaklumkan garis panduan SOP pembukaan terbabit kepada ibu bapa kepada pelatih Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi menghantar anak mereka pusat itu.
“Ibu bapa tidak diwajibkan menghantar anak mereka (pelatih OKU) ke PDK terbabit (mulai 25 Ogos) dan terpulang kepada mereka samada mahu menghantar anak ke pusat itu,” tambahnya.
Fatimah menjelaskan pelatih OKU pusat itu berbeza usia dari kanak-kanak hingga dewasa dan setiap pelatih itu dibayar elaun RM150 sebulan walaupun tidak hadir ke pusat itu ketika ditutup lebih empat bulan akibat Covid-19 yang lepas.
Beliau berkata ketika ini Sarawak ada keseluruhannya sebanyak 55 PDK dengan seramai 1, 862 pelatih OKU , seramai 318 petugas dan 55 penyelia serta setakat ini bahagian Kuching yang ada 16 PDK, Samarahan (6 PDK) dan Serian (3 PDK) masih berada dalam zon kuning.
Katanya PDK di tiga bahagian terbabit juga akan dibuka semula pada 25 Ogos depan sekiranya telah diistiharkan JPBN kembali berstatus zon hijau Covid-19 sebelum tarikh tersebut.
“Ini juga selepas Pegawai Kebajikan Bahagian mengadakan lawatan untuk memantau persiapan (pembukaan PDK) yang telah dilakukan dan kita berpuas hati maka bolehlah dibenarkan untuk beroperasi semula,” katanya.
Beliau berkata antara SOP penting bagi PDK dibenarkan beroperasi semula ialah ada nisbah dua orang petugas bagi menjaga maksima seramai lima orang pelatih OKU atau lebih kurang dari itu dan ketika ini PDK di Sarawak paling sedikit ada seramai 10 pelatih OKU dan paling ramai ada 179 pelatih OKU.—DayakDaily