Pusat pemindahan banjir Dewan Suarah Bintulu ditutup, 21 mangsa banjir pulang ke rumah

Sebahagian dari 21 mangsa banjir yang meninggalkan Pusat Pemindahan Banjir Dewan Suarah Bintulu.

KUCHING, Feb 12: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak mendedahkan Pusat Permindahan Banjir Dewan Suarah Bintulu telah ditutup jam 9 pagi tadi.

Ini selepas kesemua 21 mangsa banjir dari empat keluarga yang dipindahkan ke pusat itu telah selamat pulang ke rumah masing-masing pagi tadi.

Dalam kenyataan jawatankuasa itu yang disiarkan dalam laman Facebook Agensi Pertahanan Awam (APM) Negeri Sarawak hari ini, kesemua 21 mangsa banjir terlibat adalah dari kawasan setinggan Batu 5, Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu.


“Pusat Pemindahan Dewan Suarah Bintulu telah ditutup sepenuhnya pada jam 9.01 pagi ini. Semua mangsa seramai 21 orang daripada empat keluarga telah selamat pulang ke rumah masing-masing,”menurut jawatankuasa terbabit.

Sementara itu, APM Sarawak di laman Facebook itu juga mendedahkan sehingga petang tadi, pihaknya masih terus membuat tinjauan lokasi banjir di Bahagian Bintulu.

Anggota APM Sarawak memantau keadaan banjir di Bintulu.

Ini bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas banjir. Antara lokasi pemantauan ialah Rumah Tan, Sebungan, Sebauh yang di naiki air setinggi satu kaki dan beransur surut.

Sebanyak 18 pintu daripada 23 pintu rumah panjang tersebut yang terjejas akibat hujan berterusan selama tiga hari lepas dan menyebabkan air naik namun tiada pusat pemindahan perlu dibuka dan semua dikatakan dalam keadaan terkawal. — DayakDaily