KUCHING, 22 Sept: Sebuah rumah banglo setingkat di Taman Stutong Indah, Tabuan Jaya, di sini, yang dijadikan sebagai pusat operasi dan pengurusan sindiket judi dalam talian diserbu semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, serbuan dilakukan pada jam 12 tengah hari iaitu hasil daripada risikan maklumat yang telah dilakukan sebelum ini.
Katanya, seramai lima orang warga asing dan empat orang warga tempatan dalam lingkungan usia 18 hingga 31 tahun telah ditahan dalam serbuan tersebut.
Menurutnya, kesemua yang ditahan dipercayai bekerja sebagai operator pengendalian kegiatan perjudian tersebut semenjak enam bulan yang lalu dengan bayaran gaji sebanyak RM 1,500 sebulan.
“Setiap operator juga akan dibayar amaun sebagai bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperoleh sindiket,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya kesemua suspek yang mengendalikan pusat itu turut berperanan mempromosikan kegiatan perjudian tersebut.
Jelasnya, selain panggilan telefon, kesemua operator ini juga mempromosikan judi atas talian dengan menggunakan aplikasi dan laman sosial seperti WhatsApp, Telegram, WeChat, Skype dan juga Facebook.
“Siasatan awal mendapati bahawa pusat tersebut telah beroperasi secara syif untuk tempoh 24 jam sejak enam bulan yang lepas berdasarkan kepada rekod dan transaksi yang telah berjaya disemak,” katanya.
Ahsmon berkata, sindiket dipercayai memperoleh keuntungan kasar sebanyak RM 2,000 sehari dan boleh mencecah RM60,000 sebulan.
“Pihak polis turut merampas tujuh unit monitor komputer, tujuh unit pemprosesan komputer (CPU), lapan telefon bimbit, modem dan peralatan lain dalam menjalankan kegiatan perjudian ‘online’ itu,” katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Kesemua suspek warga asing ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari bermula hari ini sehingga 4 Oktober 2021.
“Kesemua suspek warga tempatan ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini sehingga 24 September ini,” katanya. — DayakDaily