Pusat beli-belah digalak anjur aktiviti sukan indoor — Abdul Karim

Abdul Karim (tiga kiri) meluangkan masa bermain ping-pong.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 April: Kerajaan menggalakkan penganjuran aktiviti sukan indoor di pusat beli belah di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata usaha tersebut membantu menyemarakkan pergaulan positif di kalangan belia.


“Pada pandangan kerajaan dan saya, sebagai menteri bertanggungjawab terhadap pembangunan belia, menyokong sepenuhnya usaha ini,” kata beliau kepada pemberita di sesi santai program “The Play Ground: Ping Pong” yang diadakan di sebuah pusat beli-belah The Hills di sini, hari ini.

Beliau percaya penganjuran aktiviti sukan indoor di pusat beli-belah juga akan mewujudkan pusat sehenti untuk golongan belia.

Tambah beliau, aktiviti sukan indoor akan menarik minat para belia untuk berkunjung ke pusat beli-belah dan membolehkan mereka berinteraksi dengan kenalan baharu.

Abdul Karim (tengah) di sesi santai bersama media. Turut kelihatan ialah Seph (kanan) dan Pengurus Pemasaran The Hills Brendan Chin.

“Disamping berseronok dengan permainan yang disediakan, belia juga boleh menikmati makanan dan minuman yang dijual.

“Sekaligus kita akan mewujudkan pusat sehenti khas untuk golongan belia berkumpul,” ujar beliau.

Selain dari ping-pong, Abdul Karim juga menyarankan aktiviti sukan indoor yang lain seperti permainan catur, dart dan memanjat dinding batu yang turut dianjurkan di pusat beli-belah tersebut.

Program “The Play Ground: Ping Pong” dianjurkan keusahawanan sosial “Spativate” bersempena dengan sambutan “Earth Hour” dan “United Nation’s World Health Day” yang diraika pada 30 Mac, dan 7 April, 2019.

Menurut pengasas Spativate, Seph Haini, empat meja ping pong telah diletakkan di The Hills Kuching selama 17 hari semenjak 22 Mac lepas untuk digunakan pengunjung yang ingin bermain ping pong.

Pada program ini, Abdul Karim turut disertai para pemain ping pong peringkat belia Negeri Sarawak. — DayakDaily