Puncak Mutiara ungguli kategori lelaki terbuka Cabaran Rakit Serian 2019

Riot (tengah) menyampaikan hadiah kepada wakil Pasukan Puncak Mutiara yang menjuarai Kategori Lelaki Terbuka.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

SERIAN, 14 Sept: Pasukan Puncak Mutiara dari Kampung Sungan mengungguli Kategori Lelaki Terbuka Cabaran Rakit Serian 2019 yang berakhir di Kampung Tebekang, di sini, hari ini.

Mencatatkan masa 3 jam, 22 minit dan 36 saat, Puncak Mutiara pulang dengan hadiah wang tunai RM1,500 berserta piala dan sijil.

Advertisement

Pasukan Bukit Semuja dan Lanting Semut, masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga, membawa pulang hadiah RM1,200 dan RM900 berserta piala dan sijil.

Untuk kategori wanita terbuka, Pasukan Dayung Sadung Bitema berjaya menjadi juara dengan catatan masa 4 jam, 23 minit dan 43 saat.

Semua hadiah disampaikan Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot.

Dalam ucapan penangguhan Cabaran Rakit Serian, Riot berkata acara itu akan terus menjadi acara tahunan dan bakal menarik ramai lagi penyertaan.

Pemenang-pemenang Cabaran Rakit Serian 2019 merakamkan kenangan bersama Riot (berdiri di tengah).

“Pada tahun pertama penganjuran, kita hanya menerima penyertaan dari lapan pasukan sahaja. Tetapi pada edisi ke-9, tahun ini, kita telah menerima penyertaan 68 pasukan dari seluruh Sarawak.

“Acara ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya sambil mengumumkan yang pada edisi ke-10 nanti, acara akan dikenali dengan Festival Rakit Serian.

Cabaran Rakit Serian 2019 turut menyediakan tiga kategori lain iaitu Kategori Belia Terbuka, Kategori Agensi Kerajaan dan Kategori Hotel & Pelancongan.

Untuk Kategori Belia Terbuka, gelaran juara jatuh kepada Pasukan Bung Tubuh Singau Buda dengan catatan masa 3 jam, 23 minit dan 9 saat.

Manakala Pasukan BHR Ma Gaseng menjuarai Kategori Hotel & Pelancongan dengan catatan masa 3 jam, 47 minit dan 12 saat.

Kategori Agensi Kerajaan diungguli pasukan Stesen Pertanian Tarat dengan catatan masa 3 jam, 43 minit dan 1 saat.

Semua juara menerima hadiah wang tunai RM1,500 berserta piala dan sijil.

Suasana di garisan penamat perlumbaan berakit di Kampung Tebekang, Serian.

Perlumbaan berakit bermula daripada Kampung Tema Mawang, Tebedu, sehingga Kampung Tebekang Dayak, Serian, adalah sejauh 25 kilometer. — DayakDaily

Advertisement