Punca kes tembak TUDM: Polis siasat semua aspek

Jenazah mangsa tiba di rumah mayat Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat (gambar fail).

KUCHING, Ogos 24: Punca dan motif kejadian tembak melibatkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Balai Pengawal HANDAU kem TUDM Kota Samarahan pada 13 Ogos lalu masih dalam siasatan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata bedah siasat ke atas semua mangsa telah dijalankan dan jenazah telah diserahkan kepada waris masing-masing.

Katanya, polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pakar patologi.


“Selain itu, sampel barang kes meliputi sampel DNA, senjata api dan kelongsong peluru telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Forensik PDRM untuk analisa saintifik.

”Rampasan telefon bimbit milik mangsa juga telah dihantar ke Forensik PDRM untuk analisa bagi mengenal pasti punca dan motif kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kata Aidi, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya setelah siasatan lengkap dan laporan pakar diperolehi.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan bagi menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga,” katanya. — DayakDaily