Oleh Chris Bishop
KUCHING, 31 Mei: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memohon maaf kepada masyarakat Dayak kerana mereka tidak dibenarkan untuk kembali ke rumah panjang masing-masing atau ‘pulai ke menua’ pada perayaan Hari Gawai Dayak nanti.
Katanya, perintah larangan rentas negeri atau rentas zon yang dikenakan oleh kerajaan adalah demi keselamatan semua daripada bahaya Covid-19.
“Seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, ini merupakan kali kedua Gawai Dayak terpaksa diraikan dalam keadaan yang amat terhad disebabkan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia.
“Amat menyedihkan kerana ramai yang tidak dapat merayakan Gawai bersama keluarga dan sahabat handai di kampung atau rumah panjang.
“Saya amat faham bahawa inilah masanya bagi saudari dan saudari yang berada di tempat lain kerana mencari rezeki seperti di bandar-bandar, di Semenanjung Malaysia atau di luar negara untuk kembali ke tempat asal masing-masing untuk merayakan Hari Gawai bersama sanak saudara.
“Saya mohon ampun dan maaf kepada saudara dan saudari semua,” katanya pada Perutusan Gawai Dayak 2021 yang akan diraikan esok.
Abang Johari yakin, bukanlah menjadi masalah untuk semua ‘STAY HOME’ (kekal di rumah) jika tidak ada urusan yang penting di luar rumah.
Namun katanya, yang sering menyebabkan kluster jangkitan ialah penganjuran majlis sosial bagi pelbagai tujuan di tempat atau kediaman masing-masing.
Ujar beliau lagi, baru-baru ini sebuah majlis untuk menyambut Hari Ibu, walaupun dalam kalangan ahli keluarga terdekat telahpun telah menyebabkan terjadinya sebuah kluster jangkitan.
“Oleh itu, saudari dan saudari sekalian, dalam merayakan Hari Gawai berhati-hatilah dan janganlah lupa untuk patuh kepada SOP.
“Walaupun dalam kalangan ahli keluarga terdekat, hendaklah jaga jarak, kerap cuci tangan, pakai pelitup muka, jangan berkongsi cawan, pinggan dan mangkuk, jangan berjabat tangan, berpeluk dan sebagainya,” katanya.
Pada perutusan itu juga, Abang Johari berkata tiada aktiviti sabong ayam dibenarkan sepanjang musim perayaan ini.
Jelas beliau, arahan telah dikeluarkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk tidak mengeluarkan lesen sabong ayam untuk mengurangkan ruang bagi jangkitan terus menular.
“Langkah seperti ini mungkin tidak ‘popular’ tetapi hendaklah dikenakan supaya rakyat kita lebih selamat.
“Sebelum ini arahan saya supaya ziarah Hari Raya untuk satu hari sahaja juga keputusan yang tidak ‘popular’ dalam kalangan masyarakat Islam, namun perlu dilaksanakan supaya keadaan dapat dikawal,” ujar beliau.
Tambah Abang Johari, pada masa ini lebih menyukarkan untuk memutuskan rantaian jangkitan kerana terdapat banyak kes melibatkan orang yang tidak bergejala.
Katanya, kes-kes tidak bergejala telah menyebakan kes-kes jangkitan sporadik kerana tanpa disedari pembawa virus berada di khalayak ramai seperti di pusat-pusat membeli-belah sebagai orang yang sihat tubuh badan.
“Ingat! Semua kita berkemungkinan adalah pembawa virus. Oleh itu, sentiasa jaga diri dan jaga orang lain di sekeliling kita,” kata Abang Johari. — DayakDaily