PRU15 perlu diadakan segera, kata Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 10 Okt: Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Fadillah Yusof berkata Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan segera dalam tahun ini.

Katanya, negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat mandat besar dari rakyat untuk berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi dunia akibat krisis Russia-Ukraine yang kian meruncing, selain kesan pasca pandemik Covid-19.

“Ketidaktentuan ekonomi pada tahun depan sukar dielakkan memandangkan ia banyak dipengaruhi faktor luaran termasuk perang Russia dan Ukraine.


“Ditambah dengan keadaan politik negara khususnya di peringkat Pusat yang kurang stabil.

“Kita sememangnya perlu mengadakan pilihan raya untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat mandat besar dari rakyat,” katanya dalam satu kenyataan sebagai respond terhadap pembubaran Parlimen hari ini.

Tambah Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya, hanya dengan kerajaan yang stabil fokus dapat diberikan kepada usaha memastikan kestabilan politik negara terus mengukuh bagi menjamin negara dapat berdepan dengan keadaan ekonomi yang kian mencabar.

Katanya, mandat kini sudah dikembalikan kepada rakyat dan terpulang kepada rakyat untuk menentukan halatuju dan masa depan negara.

“Sekiranya kita memilih kerajaan yang salah dan tidak berkemampuan untuk menerajui negara ianya akan memberi impak yang besar dan berpanjangan kepada Sarawak dan Malaysia pada amnya,” ujar beliau.

Fadillah mengambil contoh pada tahun 2018 di mana kerajaan yang dipilih pada PRU-14 terbukti gagal sehingga memberi kesan yang negatif kepada setiap rakyat dari pelbagai sudut.

Jelas beliau, boleh dikatakan kesilapan memilih kerajaan pada masa itu telah memusnahkan harapan untuk menjadi negara yang berdaya saing.

Kesannya masih boleh dirasai sehingga sekarang ini untuk Malaysia dan Sarawak khasnya.

“Kita sedia maklum, pada tahun 2018, oleh kerana ingin mencari kelainan dan disebabkan permainan politik, rakyat pada ketika itu telah memilih Pakatan Harapan untuk memimpin Kerajaan Persekutuan.

“Akhirnya tempoh 22 bulan memerintah menyaksikan PH membakul sampahkan janji-janji ketika berkempen termasuk kepada rakyat Sarawak,” kata Fadillah yang juga Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Justeru beliau menasihati bakal-bakal pengundi agar memilih yang terbaik untuk rakyat dan negara.

“Kita telah belajar, kita telah melihat betapa rakusnya pihak-pihak yang tertentu yang hanya mahukan kuasa tanpa memikirkan tentang masa depan rakyat dan negara” tegas Fadillah. — DayakDaily