KUCHING, Mac 27: Barisan Nasional (BN) Sarawak mensasarkan parti komponennya akan memenangi sebanyak 28 kerusi Parlimen dari keseluruhannya 31 kerusi Parlimen negeri ini yang dipertandingkan pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.
Ketua Menteri dan Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian dan memutuskan menambah kerusi Parlimen yang disasarkan dimenangi BN Sarawak setelah melihat semangat perjuangan yang tinggi yang ditunjukkan di kalangan ahli Jentera Pemuda BN Sarawak bagi PRU14.
“Kita (BN Sarawak) berkehendakkan sekurang-kurangnya dapat mempertahankan 25 kerusi Parlimen kita; namun dari wajah saudara dan saudari (Pemuda BN Sarawak) sekalian, kita tambah (sasaran terbabit) dari 25 kepada sekurang-kurangnya 28 (kerusi Parlimen),” katanya ketika majlis melancarkan Jentera Pemuda BN PRU14 di Padang Salpas, Jalan Muhibbah, Satok, di sini, semalam.
Seramai 1,500 ahli Jentera Pemuda BN Sarawak yang terdiri dari ahli pergerakkan pemuda parti kompenen BN Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) telah menghadiri majlis terbabit.
Abang Johari berkata bagi mencapai sasaran terbabit, parti komponen BN Sarawak pada PRU14 bukan sahaja perlu mempertahankan sebanyak 25 kerusi Parlimen negeri ini yang dikuasainya tetapi juga merampas sekurang-kurangnya tiga dari enam kerusi Parlimen yang ketika ini dikuasai pembangkang.
“Kami juga merasakan PRU14 ini mampu menjadi seperti pilihanraya negeri tahun lepas apabila ada kerusi Dewan Undangan Negeri yang dikuasai pembangkang telah dapat dikuasai semula BN Sarawak, jadi kita perlu bersatu dan bekerja bersama-sama lagi,” katanya.
Tambah beliau sekiranya BN Sarawak mampu memenangi lebih banyak kerusi Parlimen pada PRU14, maka negeri ini akan mempunyai lebih kuasa tawar-menawar dalam usahanya mendapatkan semula hak negeri ini yang telah terhakis dari kerajaan pusat.
“Kita mahu mendapatkan hak (negeri) kita, tidak lebih atau kurang daripada itu. Yang pembangkang hanya tahu bercakap (mengenainya) sahaja malahan hari ini ada seorang pemimpin pembangkang hendak mengajar kita pula,” katanya.
Beliau tidak mendedahkan identiti pemimpin pembangkang terbabit tetapi memberi petunjuk yang beliau seorang peguam dan gemar melompat keluar masuk parti politik dan memintanya pemimpin pembangkang terbabit supaya tidak mengajar penduduk negeri ini berpolitik.
“Kami ada prestasi sendiri, kami ada maruah sendiri, jadi jangan mengajar orang Sarawak, kami tahu apa yang perlu dilakukan kerana kami boleh bekerjasama dengan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak dan boleh mentranformasikan Sarawak kepada negeri paling membangun di negara ini pada 2030,” katanya.
Katanya negeri ini mempunyai banyak sumber dan bagi menjadi negeri paling membangun di Malaysia, Sarawak hanya perlukan golongan muda yang menguasai banyak teknologi baru, kerajaan negeri yang stabil dan semua kaum di negeri ini bekerjasama sebagai satu keluarga.
Sehubungan itu, Abang Johari meminta ahli Pemuda BN Sarawak segera berkeliaran ke setiap pelusuk negeri ini sebaik sahaja Najib selaku Pengerusi BN Peringkat Persekutuan memukul gong yang menandakan bermulanya pilihanraya umum terbabit tidak lama lagi.
Beliau yang pernah menjadi ahli Pemuda BN Sarawak mengetahui ahli pemuda terbabit cukup tahan lasak dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran sebagai benteng hadapan BN ketika pilihanraya dan yakin mereka akan dapat memberi kemenangan lebih besar lagi kepada BN pada PRU14. — DayakDaily