PRU14: Ahmad Lai umum undur diri

Datuk Ahmad Lai Bujang

KUCHING, April 23: Sehari sebelum nama calon Barisan Nasional (BN) Sarawak diumumkan, penyandang kerusi Parlimen Sibuti, Datuk Ahmad Lai Bujang mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi yang disandangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

Ahmad Lai dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, beliau sudah menyatakan hasrat beliau untuk mengundur diri serta berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya, keputusannya itu akan memberi peluang kepada muka baru untuk diketengahkan bagi mengisi kekosongan kerusi yang telah disandangnya selama dua penggal.

“Saya mengambil keputusan untuk berundur atas beberapa faktor termasuk masalah kesihatan yang dialami,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan pucuk kepimpinan tertinggi BN di atas kepercayaan memilih beliau sebagai Ahli Parlimen kawasan Parlimen P.218 Sibuti selama dua penggal.


“Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada ADUN Bekenu Rosey Yunus dan ADUN Lambir Ripin Lamat atas kerjasama membangunkan kawasan Parlimen Sibuti,” ujarnya lagi.

Abang Johari yang juga Pengerusi BN Sarawak dijangka melakukan pengumuman nama calon BN Sarawak pada pukul 9 pagi esok. — DayakDaily