PRS sedia rampas semula parlimen Lubok Antu

Roy (duduk enam kanan) pada Mesyuarat Gerakan Strategi Pilihanraya Umum (PRU) Parlimen Lubok Antu. Turut kelihatan Gingkoi (duduk empat kiri).

KUCHING, 1 Okt: Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi kawasan Parlimen Lubok Antu pada hari ini mengadakan Mesyuarat Gerakan Strategi Pilihanraya Umum (PRU) Parlimen Lubok Antu.

Mesyuarat yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Batang Ai itu antara lain bertujuan melantik jawatankuasa dan mempersiapkan jentera bagi menghadapi PRU15.

Menurut calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Parlimen Lubok Antu Roy Gingkoi, ini bagi memastikan PRS merampas semula kerusi tersebut yang dimenangi oleh pihak pembangkang pada PRU14 lepas.


Mesyuarat juga telah melantik Dato Gingkoi Seman Pancras sebagai pengarah operasi jentera PRU Lubok Antu.

Manakala ADUN Batang Ai merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen adalah penasihat jentera.

Taklimat bagi persiapan jentera PRU15 telah disampaikan Jack Merdan dan Daniel Batin.

Pada September 2022 lepas, Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum telah mengumumkan Roy Gingkoi sebagai calon parti di parlimen Lubok Antu pada PRU15 nanti. — DayakDaily