Projek Tukun Tiruan Fasa 2 mulai 2023, fokus tingkatkan industri pelancongan — Abang Johari

Abang Johari (duduk dua dari kiri) pada sidang media di Jeti Kampung Telaga Air.

Oleh Chris Bishop

TELAGA AIR, 18 Sept: Sarawak akan melaksanakan Fasa Kedua Projek Tukun Tiruan ‘Reefball’ di perairan Negeri mulai tahun hadapan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan bagi projek tersebut akan disalurkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).


Menurut Abang Johari, fasa kedua projek itu ada hubung kait dengan industri pelancongan dengan memberi fokus untuk mewujudkan kawasan batu karang dan aktiviti memancing.

“Pelaksanaan Fasa 2 Projek Tukun Tiruan ‘Reefball’ akan mengambil kira kawasan-kawasan tertentu yang telah kita kenalpasti.

“Projek bakal membantu menggalakan industri pelancongan dengan mewujudkan kawasan pembiakan ikan yang sesuai untuk aktiviti memancing.

“Menerusi fasa kedua, kita juga akan mewujudkan banyak lagi kawasan batu karang bagi tujuan aktiviti menyelam.

“Sekarang sudah ada pengunjung dari Singapura yang datang ke Sarawak seperti ke Telaga Air untuk memancing,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian di sidang media di Jeti Kampung Telaga Air di sini hari ini.

Terdahulu, Abang Johari telah menyaksikan kerja melabuhkan tukun tiruan ‘reefball’ yang ke-16,800 dan merupakan yang terakhir di dalam Fasa 1 yang dilakukan di perairan berhampiran Pulau Satang.

Fasa 1 Projek Tukun Tiruan di sepanjang 1,000km perairan Negeri bermula pada tahun 2018 dengan kos RM70 juta.

Menurut Abang Johari, fasa 1 projek telah menunjukan kejayaan apabila sumber ikan di perairan Negeri kini sudah bertambah.

“Kesannya adalah sangat positif, sumber ikan bertambah dan ini telah menambah pendapatan para nelayan kita.

“Banyak kawasan tukun sudah ada banyak ikan dan ia tidak bermusim.

“Ia menampakan kejayaan apabila penyu banyak mendarat di kawasan kita seperti di Telok Melano dan Samalaju di Bintulu,” ujar Abang Johari.

Tambah beliau, kerajaan juga telah menubuhkan Sarawak Coast Guard yang membantu mengawal perairan Negeri daripada dicerobohi nelayan asing.

Menerusi Fasa 1, perairan Sarawak dari Tanjung Datu hingga ke Lawas mencatatkan rekod sebagai kawasan projek tukun tiruan jenis ‘Reefball’ terpanjang di dunia.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily