Projek RTP jalan pertanian Kampung Stenggang siap

Billy (tiga kanan) di penyerahan projek RTP Jalan Pertanian Kampung Stenggang.

KUCHING, 1 Feb: Projek menaiktaraf jalan pertanian dari kawasan Rub-Puluoh-Sibuok-Otak Limotak sehingga kawasan Sungai Situ di Kampung Stenggang yang telah siap dibina sepenuhnya.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Adun Opar Billy Sujang berkata, ia merupakan satu Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM237,309.85.

“Jalan pertanian sepanjang 620 meter dengan tiga ‘culvert’ ini memberi manfaat kepada 48 keluarga dari kawasan Kampung Stenggang, Kampung Pidilam Stenggang dan Kampung Sepadah,” katanya semasa majlis penyerahan projek RTP Jalan Pertanian Kampung Stenggang di sini pada Selasa.


Tambah Billy, jarak keseluruhan jalan pertanian Ruh Puluoh hingga ke Sungai Situ adalah lebih kurang 2.2 kilometer.

Sehubungan itu katanya, peruntukan tambahan untuk pembinaan fasa kedua akan dimajukan ke kementerian berkaitan untuk kelulusan.

Billy berharap pembinaan jalan pertanian ini dapat membantu para pekebun bagi memudahkan hasil tani dan baja diangkut ke kebun mereka.

Katanya, usaha ini secara tidak langsung membantu pekebun dalam meningkatkan hasil pertanian seterusnya melonjak pendapatan dan ekonomi penduduk. — DayakDaily